Monday, 3 September 2012

2. SURAH Al-Baqarah

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Kitab ini, tidak ada keraguan padanya. Petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.
[3]
Iaitu mereka yang beriman kepada perkara ghaib, dan mendirikan sembahyang, dan mendermakan sebahagian apa yang Kami berikan kepada mereka.
[4]
Dan juga mereka yang beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu (Muhammad), dan apa yang diturunkan dahulu daripadamu, dan mereka yakin akan hari akhirat.
[5]
Mereka itu, di atas petunjuk daripada Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
[6]
Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau kamu tidak beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman.
[7]
Allah mengunci hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka azab seksa yang amat besar.
[8]
Dan di antara manusia ada yang berkata “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat” Padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
[9]
Mereka hendak memperdaya Allah dan orang-orang beriman, padahal mereka hanya memperdaya diri sendiri, sedang mereka tidak sedari.
[10]
Dalam hati mereka terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu. Dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta.
[11]
Dan apabila dikatakan kepada mereka “Janganlah kamu menyebarkan kerosakan di muka bumi” Mereka menjawab “Kami hanyalah orang-orang yang membuat kebaikan”
[12]
Ketahuilah! Sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang menyebarkan kerosakan, tetapi mereka tidak sedari.
[13]
Dan apabila dikatakan kepada mereka “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman” Mereka menjawab “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang yang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui.
[14]
Dan apabila mereka bertemu orang-orang beriman, mereka berkata “Kami telah beriman” Dan apabila mereka bersendirian, bersama syaitan mereka, mereka berkata pula “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok”
[15]
Allah memperolok-olok mereka, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka.
[16]
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan untuk petunjuk. Maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka mendapat petunjuk.
[17]
Perumpamaan mereka seperti orang yang menyalakan api. Apabila ia menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya mereka, dan membiarkan mereka dalam gelap gelita, tidak dapat melihat.
[18]
Pekak, bisu, dan buta. Maka tidaklah mereka akan kembali.
[19]
Atau seperti hujan lebat dari langit yang disertai gelap-gelita, guruh, dan kilat. Mereka menyumbat telinga menggunakan jari mengelak suara petir, dan takut mati. Sedang Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.
[20]
Kilat itu pula hampir-hampir saja menyambar penglihatan mereka. Tiap-tiap kali ia menerangi mereka, mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka. Dan sekiranya Allah kehendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[21]
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
[22]
Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai tempat bersenang lenang, dan langit sebagai bumbung. Dan diturunkanNya air dari langit, dan dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu. Maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu, padahal kamu mengetahui.
[23]
Dan jika kamu dalam keraguan mengenai apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, maka datangkanlah satu surah yang sebanding dengannya (Al-Quran), dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
[24]
Dan jika kamu tidak dapat membuat, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuat, maka peliharalah diri kamu dari api yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu-batu, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir.
[25]
Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat baik. Bagi mereka taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Tiap-tiap kali mereka diberikan rezeki buah-buahan, mereka berkata “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu” Dan mereka diberikan rezeki yang sama rupanya, dan disediakan pula untuk mereka di dalamnya pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa suci bersih, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
[26]
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, lalat hingga ke sesuatu yang lebih daripadanya, iaitu kalau orang-orang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar daripada Tuhan mereka. Dan kalau orang-orang yang kafir pula maka mereka akan berkata “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” Dia akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan Dia akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya juga. Dan Dia tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik.
[27]
(Iaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang diperintahkan Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula menyebarkan kerosakan di muka bumi. Mereka itu orang-orang yang rugi.
[28]
Bagaimana kamu tergamak tidak percayakan Allah padahal kamu dahulunya mati, kemudian Dia menghidupkan kamu. Setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula. Akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya.
[29]
Dialah yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi. Kemudian Dia berpaling ke arah langit, dan dijadikan ia tujuh langit dengan sempurna. Dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[30]
Dan ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” Mereka bertanya “Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan menyebarkan kerosakan dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Dia berfirman “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui”
[31]
Dan Dia mengajari Adam segala nama-nama, lalu ditunjukkanNya kepada malaikat dan Dia berfirman “Terangkanlah kepadaKu nama-nama ini semuanya jika kamu golongan yang benar”
[32]
Mereka menjawab “Maha suci Engkau! Tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
[33]
Dia berfirman “Wahai Adam! Terangkanlah nama-nama ini kepada mereka” Maka setelah dia menerangkan nama-nama itu kepada mereka, Dia berfirman “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan”
[34]
Dan ketika Kami berfirman kepada malaikat “Bersujudlah kamu kepada Adam” Maka bersujudlah mereka melainkan Iblis. Dia enggan dan takbur, dan menjadi golongan yang kafir.
[35]
Dan Kami berfirman “Wahai Adam! Diamilah kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah daripadanya sebebasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. Maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”
[36]
Setelah itu syaitan menggelincirkan mereka berdua daripadanya dan dia berjaya mengeluarkan mereka dari apa yang mereka berada di dalamnya dan Kami berfirman “Turunlah kamu! Sebahagian kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain, dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, dan mendapat rezeki hingga ke suatu masa”
[37]
Kemudian Nabi Adam menerima beberapa kalimah daripada Tuhannya, lalu Dia menerima taubatnya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[38]
Kami berfirman lagi “Turunlah kamu semua daripadanya! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripadaKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu, nescaya tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati”
[39]
Dan orang-orang kafir yang mendustakan tanda-tanda Kami, mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
[40]
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah janji kamu kepadaKu, supaya Aku sempurnakan janjiKu kepada kamu. Dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa takut.
[41]
Dan berimanlah kamu kepada apa yang Aku telah turunkan yang mengesahkan benarnya apa yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang pertama sekali kafir kepadanya. Dan janganlah pula kamu menukar tanda-tandaKu dengan harga yang rendah. Dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertakwa.
[42]
Dan janganlah kamu campur-adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan pula yang benar itu padahal kamu semua mengetahui.
[43]
Dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat, dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.
[44]
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat baik sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri. Padahal kamu membaca Kitab. Tidakkah kamu berakal?
[45]
Dan mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mendirikan sembahyang. Dan sesungguhnya ia amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.
[46]
(Iaitu) mereka yang percaya bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
[47]
Wahai Bani Israil! kenangkanlah akan nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat.
[48]
Dan takutilah kamu hari yang padanya seseorang itu tidak dapat melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan. Dan mereka tidak akan diberi sebarang pertolongan.
[49]
Dan ketika Kami selamatkan kamu daripada Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya. Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup perempuan kamu. Sedang kejadian yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar daripada Tuhan kamu.
[50]
Dan ketika Kami belahkan laut untuk kamu lalui, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun dan orang-orangnya, sedang kamu semua menyaksikannya.
[51]
Dan ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat sesudah) empat puluh malam. Kemudian setelah dia pergi, kamu mengambil (menyembah) anak lembu, dan kamu sememangnya orang-orang yang zalim.
[52]
Kemudian sesudah itu Kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
[53]
Dan ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab dan keterangan-keterangan, supaya kamu mendapat petunjuk.
[54]
Dan ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri kerana kamu mengambil anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Pencipta kamu. Dan bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Pencipta kamu, supaya Dia menerima taubat kamu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang”
[55]
Dan ketika kamu berkata “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami melihat Allah dengan nyata” Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
[56]
Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati, supaya kamu bersyukur.
[57]
Dan Kami telah naungi kamu dengan awan dan Kami turunkan pula kepada kamu Mann dan Salwa (sejenis hidangan) “Makanlah dari makanan-makanan baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu” Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
[58]
Dan ketika Kami berfirman “Masuklah kamu ke bandar ini, dan makanlah daripadanya sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan bersujud. Dan berkata “Ampunkanlah dosa kami” Supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami tambahkan lagi orang-orang yang berbuat baik”
[59]
Tetapi orang-orang yang zalim itu menggantikan perintah dengan yang tidak diperintahkan kepada mereka. Maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik.
[60]
Dan ketika Nabi Musa memohon supaya diberikan air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman “Pukullah batu itu dengan tongkatmu” Kemudian terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap puak telah mengetahui tempat minum masing-masing “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu bertebaran di muka bumi ini dengan menyebarkan kerosakan”
[61]
Dan ketika kamu berkata “Wahai Musa, kami tidak sabar dengan makanan yang semacam sahaja. Maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi, dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, bawang putihnya, kacang adasnya, dan bawang merahnya” Dia menjawab “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Pergilah kamu ke bandar kerana sesungguhnya di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu” Dan tertimpa ke atas mereka kehinaan dan kepapaan. Dan sudah sepatutnya mereka mendapat laknat Allah. Yang demikian itu kerana mereka kufurkan tanda-tanda Allah. Dan mereka membunuh Nabi-nabi tanpa alasan yang benar. Demikianlah, kerana mereka selalu menderhaka lagi sentiasa melampaui batas.
[62]
Sesungguhnya orang-orang beriman, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani, dan orang-orang Saabien. Sesiapa saja di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan berbuat baik, maka bagi mereka pahala balasan di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[63]
Dan ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung di atas kamu “Terimalah apa (Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah apa yang ada di dalamnya supaya kamu bertakwa”
[64]
Kemudian kamu berpaling setelah itu. Maka kalaulah bukan kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.
[65]
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui mengenai orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka “Jadilah kamu kera yang hina”
[66]
Dan Kami jadikan ia sebagai peringatan bagi orang-orang pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan menjadi pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa.
[67]
Dan ketika Musa berkata kepada kaumnya “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina” Mereka berkata “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Dia menjawab “Aku berlindung kepada Allah dari menjadi salah seorang dari orang-orang yang jahil”
[68]
Mereka berkata pula “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami mengenainya?” Dia menjawab “Bahawasanya Dia berfirman. Ia seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak pula terlalu muda, pertengahan antara itu. Maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu”
[69]
Mereka berkata lagi “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan kepada kami mengenai warnanya?” Dia menjawab “Bahawasanya Dia berfirman. Lembu itu seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”
[70]
Mereka berkata lagi “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan kepada kami mengenainya? Sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran buat kami, dan sesungguhnya kami insyaAllah akan mendapat petunjuk”
[71]
Dia menjawab “Bahawasanya Dia berfirman. Lembu itu lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah, dan tidak untuk menyirami tanaman. Ia tidak cacat dan tidak ada belang padanya” Mereka berkata “Sekarang barulah engkau menerangkan dengan kebenaran” Maka mereka menyembelih lembu berkenaan, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikannya.
[72]
Dan ketika kamu membunuh seorang manusia, dan kamu tuduh-menuduh sesama sendiri mengenainya, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.
[73]
Lalu Kami berfirman “Pukullah dia dengan satu bahagian daripadanya (lembu yang disembelih)” Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tandaNya, supaya kamu memahami.
[74]
Kemudian sesudah itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya. Dan ada pula di antaranya yang terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga di antaranya yang jatuh kerana takut kepada Allah, sedang Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang kamu kerjakan.
[75]
Bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan mempercayai kamu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah, kemudian mereka mengubahnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui?
[76]
Dan apabila mereka bertemu orang-orang beriman, mereka berkata “Kami telah beriman” Dan apabila mereka berjumpa sesama mereka, mereka berkata pula “Patutkah kamu ceritakan kepada mereka dengan apa yang telah diterangkan Allah kepada kamu supaya mereka menggunakannya untuk membantah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?”
[77]
Maka tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?
[78]
Dan di antara mereka ada orang-orang yang buta huruf, yang tidak mengetahui isi Kitab selain penerangan-penerangan bohong, dan mereka hanyalah berpegang pada sangkaan-sangkaan sahaja.
[79]
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab dengan tangan mereka, kemudian berkata “Ini adalah dari sisi Allah” Untuk menukarinya dengan harga yang rendah. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.
[80]
Dan mereka berkata “Kami tidak sekali-kali akan disentuh api neraka melainkan dalam beberapa hari tertentu” Katakanlah “Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah agar Allah tidak akan memungkiri janjiNya, atau kamu hanya mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui?”
[81]
Ya, sesiapa yang melakukan kesalahan, dan dia diliputi oleh kesalahannya itu, maka merekalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
[82]
Dan orang-orang yang beriman dan berbuat baik, merekalah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.
[83]
Dan ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum keluarga, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin. Dan katakanlah kepada sesama manusia kata-kata yang baik. Dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat” Kemudian kamu berpaling membelakangi kecuali sebahagian kecil dari kamu. Dan kamu sememangnya orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setia.
[84]
Dan ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu “Janganlah menumpahkan darah kamu (sesama manusia), dan janganlah mengusir diri kamu dari tempat-tempat tinggal kamu” Kemudian kamu berikrar mematuhi perjanjian setia tersebut, dan kamu sendiri menjadi saksi.
[85]
Kemudian kamu ini, kamu membunuh sesama kamu dan kamu usir satu puak dari kamu keluar dari tempat-tempat tinggal mereka. Kamu pula saling bantu-membantu untuk menentang mereka dalam dosa dan penganiayaan. Padahal jika mereka datang kepada kamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka. Sedang perbuatan mengusir mereka adalah diharamkan bagi kamu. Adakah kamu hanya percaya kepada sebahagian isi Kitab dan mengingkari sebahagian? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu di antara kamu, selain dari kehinaan hidup di dunia, dan pada hari kiamat pula akan ditolak ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
[86]
Mereka itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia untuk akhirat. Maka tidak akan diringankan azab seksa mereka, dan tidak pula mereka diberikan pertolongan.
[87]
Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepada Nabi Musa Kitab, dan Kami susuli kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan pula kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat dan Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu yang tidak disukai hawa nafsu kamu, kamu sombong, sehingga sebahagiannya kamu dustakan, dan sebahagiannya kamu bunuh?
[88]
Dan mereka berkata “Hati kami tertutup” Tetapi sebenarnya Allah telah melaknat mereka disebabkan ketidakpercayaan mereka, maka sedikit sekali mereka yang beriman.
[89]
Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab daripada Allah, yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon kemenangan atas kaum yang kafir. Setelah datang kepada mereka apa yang mereka telah mengetahui benarnya, mereka mengingkarinya. Maka laknat Allah ke atas orang-orang yang kafir itu.
[90]
Sejahat-jahat perkara adalah perbuatan mereka menjual dirinya sendiri dengan mengingkari apa yang telah diturunkan Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di kalangan hamba-hambaNya. Dengan sebab itu, sudah sepatutnya mereka mendapat laknat demi laknat. Dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.
[91]
Dan apabila dikatakan kepada mereka “Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan Allah” Mereka menjawab “Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami” Dan mereka ingkari yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal ia (Al-Quran) benar lagi mengesahkan apa yang ada pada mereka. Katakanlah “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?”
[92]
Dan sesungguhnya, telah datang kepada kamu Nabi Musa dengan mukjizat, kemudian kamu mengambil anak lembu sepeninggalannya, dan kamu sememangnya orang-orang yang zalim.
[93]
Dan ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan gunung di atas kamu “Ambillah yang Kami berikan kepada kamu ini dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah” Mereka menjawab “Kami dengar, dan kami menderhaka” Sedang (cinta kepada) anak lembu itu telah mesra dan sebati dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah “Amatlah jahat apa yang disuruh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”
[94]
Katakanlah “Sekiranya syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak kamu di sisi Allah, bukan untuk orang lain, maka cita-citakanlah mati, jika betul kamu orang-orang yang benar”
[95]
Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan itu selama-lamanya, disebabkan apa telah lakukan oleh tangan-tangan mereka. Dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim.
[96]
Dan engkau akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup, malah melebihi tamak orang-orang yang menyekutukan (Allah). Suka kiranya tiap-tiap seorang dari mereka dapat hidup seribu tahun, padahal ia tidak akan dapat melepaskannya dari azab. Dan Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
[97]
Katakanlah “Sesiapa memusuhi Jibril, maka sebabnya kerana Jibril menurunkan ia (Al-Quran) ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan apa yang ada sebelumnya, dan menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman”
[98]
Sesiapa yang memusuhi Allah dan Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, dan Jibril dan Mikail, maka sesungguhnya Allah adalah musuh orang-orang yang kafir.
[99]
Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu ayat-ayat yang jelas, dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.
[100]
Patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dilanggar segolongan mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.
[101]
Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah, yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari mereka yang telah diberikan Kitab melemparkan Kitab Allah itu ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui.
[102]
Dan mereka mengikut apa yang dibacakan syaitan-syaitan pada masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman itu tidaklah kafir, akan tetapi syaitan-syaitan itulah yang kafir. Kerana merekalah yang mengajari manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat, Harut dan Marut di negeri Babil, sedang mereka berdua tidak mengajari seseorangpun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata “Kami ini hanyalah cubaan, oleh itu janganlah engkau menjadi kafir” Namun mereka  mempelajari jua daripada mereka berdua, apa yang boleh menceraikan seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberikan mudarat kepada sesiapapun melainkan dengan izin Allah. Dan mereka sebenarnya mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya, mereka telah mengetahui bahawa sesiapa yang membelinya, tidaklah lagi mendapat bahagian di akhirat. Dan amatlah buruk apa yang untuknya mereka menjual dirinya, kalaulah mereka mengetahui.
[103]
Dan kalaulah mereka sentiasa beriman dan bertakwa. Maka pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalaulah mereka mengetahui.
[104]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengatakan raaina sebaliknya katakanlah unzurna, dan dengarlah kamu. Dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[Sebutan yang ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW]
[105]
Orang-orang kafir dari ahli kitab, dan dari orang-orang yang menyekutukan (Allah), tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit kebaikan daripada Tuhan kamu padahal Allah jua berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
[106]
Apa sahaja tanda (ayat) yang Kami mansuhkan, atau menyebabkan ia dilupakan, Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
[107]
Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberikan pertolongan.
[108]
Adakah kamu pula hendak meminta daripada Rasul kamu sebagaimana yang diminta daripada Nabi Musa dahulu? Dan sesiapa yang menukar kekufuran dengan iman, maka dia telah sesat dari jalan yang lurus.
[109]
Banyak di kalangan ahli kitab suka kiranya mereka dapat memalingkan kamu setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul daripada diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran. Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah mereka, sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[110]
Dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat, dan apa jua kebaikan yang kamu usahakan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.
[111]
Dan mereka berkata “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu, jika betul kamu orang-orang yang benar”
[112]
Ya, sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka baginya pahala di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[113]
Dan orang-orang Yahudi berkata “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai suatu pegangan” Dan orang-orang Nasrani berkata pula “Orang-orang Yahudi itu tidak mempunyai suatu pegangan” Padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing. Demikian juga orang-orang yang tidak mengetahui, mengatakan seperti apa yang dikatakan mereka. Maka Allah akan menghakimi mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
[114]
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebut namaNya di dalamnya, dan berusaha pula untuk kemusnahannya? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalamnya melainkan dengan rasa takut. Mereka akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
[115]
Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri, di situlah juga Wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya), lagi sentiasa Mengetahui.
[Bermaksud Allah sentiasa melihat anda]
[116]
Dan mereka berkata “Allah mempunyai anak” Maha Suci Allah, bahkan Dialah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk kepadaNya.
[117]
Pencipta langit dan bumi, dan apabila Dia berkehendakkan sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepadanya “Jadilah!” Lalu menjadilah ia.
[118]
Dan yang tidak mengetahui berkata “Mengapa tidak Allah berkata-kata kepada kami atau datang kepada kami suatu tanda?” Demikianlah pula orang-orang yang terdahulu daripada mereka pernah juga berkata seperti yang dikatakan mereka itu. Hati mereka bersamaan. Sesungguhnya Kami telahpun menerangkan tanda-tanda kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
[119]
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau dengan kebenaran, pembawa khabar gembira dan pembawa amaran. Dan engkau tidak akan dituntut mengenai penghuni neraka.
[120]
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu sehingga engkau menuruti agama mereka. Katakanlah “Sesungguhnya petunjuk Allah, itulah petunjuk” Dan jika engkau menuruti kehendak hawa nafsu mereka sesudah datang pengetahuan kepadamu, maka tiada lagi bagimu daripada Allah sebarang pelindung dan juga penolong.
[121]
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan, mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya. Dan sesiapa yang mengingkarinya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
[122]
Wahai Bani Israil, kenangkanlah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat.
[123]
Dan takutilah hari pada waktu seseorang itu tidak dapat menggantikan atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak pula akan memberi manfaat sesuatu syafaat kepadanya. Dan mereka tidak akan diberi sebarang pertolongan.
[124]
Dan ketika Nabi Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa Kalimah, lalu dia  menyempurnakannya. Dia berfirman “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam bagi umat manusia” Dia (Ibrahim) memohon dengan berkata “Dan juga daripada keturunanku” Dia berfirman “JanjiKu ini tidak akan diperolehi oleh orang-orang yang zalim”
[125]
Dan ketika Kami jadikan Rumah Suci itu tempat kembali (tempat beribadat) bagi umat manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah Makam Nabi Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami telah mengikat perjanjian dengan Nabi Ibrahim dan Ismail “Bersihkanlah RumahKu untuk orang-orang yang bertawaf, orang-orang yang beriktikaf, dan orang-orang yang rukuk dan bersujud”
[126]
Dan ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bandar ini, bandar yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari akhirat” Dia berfirman “Tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar, maka Aku akan berikan juga dia bersenang-lenang buat sementara, kemudian Aku akan memaksanya ke azab neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”
[127]
Dan ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Ismail meninggikan binaan asas-asas Baitullah itu “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
[128]
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepadaMu, dan jadikanlah juga daripada keturunan kami, umat yang tunduk patuh kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Penyayang.
[129]
Wahai Tuhan kami! Utuskanlah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu, dan mengajari mereka isi kandungan Kitab dan Hikmat kebijaksanaan, dan juga membersihkan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”
[130]
Tidak ada yang membenci agama Nabi Ibrahim selain yang memperbodohkan dirinya sendiri. Dan sesungguhnya Kami telah memilihnya di dunia ini, dan dia pada hari akhirat kelak tetaplah dari kalangan orang-orang yang soleh.
[131]
Ketika Tuhannya berfirman kepadanya “Serahkanlah diri!” Dia menjawab “Aku menyerahkan diri kepada Tuhan sekalian alam”
[132]
Dan Nabi Ibrahim berwasiat kepada anak-anaknya, dan demikian pula Nabi Yaakub “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan berserah diri (Islam)”
[133]
Kamu tidak hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku?” Mereka menjawab “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim, Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan Yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri”
[134]
Inilah satu umat yang telah lalu sejarahnya. Bagi mereka apa yang mereka usahakan, dan bagi kamu pula apa yang kamu usahakan. Dan kamu tidak akan ditanya mengenai apa yang mereka lakukan.
[135]
Dan mereka berkata “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk” Katakanlah “Bahkan agama Nabi Ibrahim tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah dia dari kalangan orang-orang yang menyekutukan (Allah)”
[136]
Katakanlah “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub dan anak-cucunya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa, Nabi Isa, dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorangpun di antara mereka. Dan kepadaNyalah kami berserah diri”
[137]
Oleh itu, jika mereka beriman sebagaimana kamu beriman, maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk. Dan jika mereka berpaling, maka mereka hanyalah berada dalam perbalahan dan permusuhan. Dan Allah jualah yang akan memeliharamu dari kejahatan mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[138]
Celupan Allah. Dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan kepadaNyalah kami beribadat”
[139]
Katakanlah “Patutkah kamu membuat bantahan terhadap kami mengenai Allah? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu, dan kami ikhlas kepadaNya.
[140]
Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-cucunya, adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani?” Katakanlah “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.
[141]
Inilah satu umat yang telah lalu sejarahnya. Bagi mereka apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula apa yang kamu usahakan. Dan kamu tidak akan dituntut mengenai apa yang mereka telah lakukan.
[142]
Yang paling bodoh dari kalangan mereka akan berkata “Apakah yang menjadikan mereka (orang Islam) berpaling dari kiblat yang mereka menghadapnya selama ini?” Katakanlah “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah. Dia memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”
[143]
Dan demikianlah, Kami jadikan kamu satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia, dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang engkau menghadapnya itu, melainkan sebagai ujian bagi menzahirkan pengetahuan Kami akan siapakah yang benar-benar mengikut Rasul dan siapa pula yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya perkara itu adalah amat berat kecuali bagi orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk, dan Allah tidak sesekali mensia-siakan iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada manusia.
[144]
Kerap kali Kami melihat engkau, menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam. Dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara  itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.
[145]
Dan jika engkau bawakan kepada orang-orang yang telah diberikan Kitab, akan segala tanda (keterangan), mereka tidak jua akan menuruti kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menuruti kiblat mereka. Dan sebahagian dari mereka tidak juga akan menuruti kiblat sebahagian yang lain. Dan sekiranya engkau menuruti kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan, maka engkau jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.
[146]
Orang-orang yang Kami berikan Kitab mengenalinya sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha pula menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui.
[147]
Kebenaran  itu, adalah datang daripada Tuhanmu. Oleh itu, janganlah sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu.
[148]
Dan bagi tiap-tiap umat, ada arah yang masing-masing menujunya. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan. Di mana sahaja kamu berada, maka Allah tetap akan mengumpulkan kamu semua. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[149]
Dan dari mana sahaja engkau keluar, maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam. Dan sesungguhnya, ia adalah benar daripada Tuhanmu. Dan Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.
[150]
Dan dari mana sahaja engkau keluar, maka hadapkanlah muka kamu ke arah masjid Al-Haraam. Dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi alasan bagi manusia ke atas kamu, melainkan orang-orang yang zalim di antara mereka. Dan janganlah kamu takut kepada mereka, dan takutlah kamu kepadaKu. Dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk.
[151]
(Nikmat berkiblatkan Kaabah), samalah seperti Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu, yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu, dan mengajari kamu kandungan Kitab dan Hikmat kebijaksanaan, dan mengajari kamu apa yang belum kamu ketahui.
[152]
Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku mengingati kamu. Dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur kepadaKu.
[153]
Wahai sekalian orang-orang beriman! Mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mendirikan sembahyang. Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
[154]
Dan janganlah kamu mengatakan sesiapa yang terbunuh pada jalan Allah, orang-orang yang mati. Bahkan mereka itu orang-orang yang hidup, tetapi kamu tidak dapat sedari.
[155]
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa, dan hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
[156]
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa suatu kemudaratan, mereka berkata “Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan sesungguhnya kepadaNyalah jua kami kembali”
[157]
Mereka itulah orang-orang yang dilimpahkan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka dan rahmatNya. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.
[158]
Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian dari Syiar agama Allah. Maka barang siapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tidaklah salah dia bersaie di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah Maha mensyukuri kebaikan, lagi Maha Mengetahui.
[159]
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat Allah dan dilaknat sesiapa yang melaknat.
[160]
Melainkan orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki dan menerangkan. Maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka. Dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Penyayang.
[161]
Sesungguhnya orang-orang kafir, dan mereka mati dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat dan manusia sekaliannya.
[162]
Mereka kekal di dalam itu, tidak diringankan azab sengsara daripada mereka, dan mereka pula tidak akan diberi penangguhan.
[163]
Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa. Tiada Tuhan melainkan Dia, yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
[164]
Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang, dan kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa kandungan yang bermanfaat bagi manusia. Demikian juga air yang Allah turunkan dari langit yang dihidupkan dengannya bumi sesudah matinya, dan disebarkan padanya dari berbagai jenis binatang. Demikian juga peredaran angin dan awan yang tunduk terapung-apung di antara langit dan bumi. Demi sesungguhnya, terdapat tanda-tanda bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.
[165]
Ada di kalangan manusia yang mengambil selain Allah sekutu-sekutu. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah, sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman itu mengetahui ketika mereka melihat azab, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya milik Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya!
[166]
(Iaitu) ketika yang menjadi ikutan berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat azab seksa tersebut, dan segala hubungan di antara mereka akan diputuskan.
[167]
Dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut “Seandainya kami dapat kembali, pastilah kami berlepas diri dari mereka sebagaimana mereka berlepas diri dari kami” Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka penyesalan bagi mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.
[168]
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang nyata.
[169]
Dia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara keji, dan supaya kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[170]
Dan apabila dikatakan kepada mereka “Turutilah akan apa yang telah diturunkan Allah” Mereka menjawab “Bahkan kami hanya menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya” Patutkah, sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu, dan tidak pula mendapat petunjuk?
[171]
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir, samalah seperti orang yang berteriak memanggil apa yang tidak dapat mendengar melainkan bunyi panggilan dan tangisan sahaja. Pekak, bisu, dan buta, kerana itu mereka tidak dapat mengerti.
[172]
Wahai orang-orang beriman! Makanlah dari benda-benda baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.
[173]
Dia hanya mengharamkan kepada kamu bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Dan sesiapa terpaksa sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[174]
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan Allah, dan membeli dengannya keuntungan yang sedikit, mereka itu tidak mengisi di dalam perut mereka selain api neraka. Dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Dia tidak akan membersihkan mereka, dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[175]
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan untuk petunjuk, dan azab seksa untuk keampunan. Maka alangkah beraninya mereka menanggung seksa api neraka itu.
[176]
Yang demikian kerana Allah telah menurunkan Kitab yang membawa kebenaran. Dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai kitab itu, sebenarnya mereka dalam penyimpangan yang jauh.
[177]
Bukanlah perkara kebajikan hanya kamu menghadapkan muka ke timur dan barat, tetapi kebajikan itu adalah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, segala malaikat, segala Kitab, dan sekalian Nabi. Dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya kepada kaum keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi. Dan mendirikan seseorang akan sembahyang dan menunaikan zakat. Dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian. Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, kesakitan, dan juga dalam masa tekanan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.
[178]
Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas dalam perkara orang yang mati dibunuh iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Dan sesiapa yang mendapat kemaafan daripada saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik, dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu, sesiapa yang melampaui batas, maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[179]
Dan dalam hukuman Qisas itu, ada jaminan hidup bagi kamu wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.
[180]
Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, sekiranya dia meninggalkan harta, berwasiat untuk ibu bapa dan kaum keluarga dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.
[181]
Kemudian sesiapa yang mengubahnya (wasiat) sesudah dia mendengarnya, maka dosa adalah bagi orang-orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[182]
Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa, lalu dia mendamaikan di antara mereka (waris-waris, dengan memperbetulkan wasiat tersebut), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[183]
Wahai orang-orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
[184]
Dalam beberapa hari tertentu. Dan sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibukanya) itu pada hari-hari lain. Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Dan sesiapa yang dengan sukarela memberikan lebih daripada apa yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya. Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.
[185]
Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk sekalian manusia, dan menjadi bukti yang menjelaskan petunjuk dan keterangan. Oleh itu, sesiapa dari kalangan kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan tersebut. Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan pada hari-hari lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran bagi kamu, dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa, dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
[186]
Dan apabila hamba-hambaKu bertanyakan kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu, dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka selalu dalam kebenaran.
[187]
Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu. Mereka itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, lalu Dia menerima taubat kamu dan Dia memaafi kamu. Maka sekarang campurilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan Allah bagi kamu. Dan makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih dari benang hitam, iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam. Dan janganlah kamu campuri isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di dalam masjid. Itulah batas-batas Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa.
[188]
Dan janganlah kamu memakan harta di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian harta manusia dengan dosa, padahal kamu mengetahui.
[189]
Mereka bertanya kepadamu mengenai anak-anak bulan. Katakanlah “Anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan, kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya, tetapi kebajikan itu adalah perbuatan orang yang bertakwa. Maka masuklah ke dalam rumah itu melalui pintunya, dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya”
[190]
Dan perangilah mengikut jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah pula kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
[191]
Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu temui mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka mengusir kamu. Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh. Dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu, jika mereka memerangi kamu, maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.
[192]
Kemudian jika mereka berhenti, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[193]
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan agama itu semata-mata untuk Allah. Kemudian jika mereka berhenti, maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.
[194]
(Berperang dalam) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas serangan dalam) bulan yang dihormati. Dan tiap-tiap perkara yang dikhianati, ada balasannya yang seimbang. Oleh itu, sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu, maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu. Dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah Allah berserta orang-orang yang bertakwa.
[195]
Dan mendermalah pada jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. Dan berbuat baiklah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
[196]
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah. Sekiranya kamu dikepung (bahaya), maka sembelihlah dam yang mudah didapati. Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu, sebelum binatang dam itu sampai di tempatnya. Dan sesiapa di antara kamu yang sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah, iaitu berpuasa, atau bersedekah, ataupun menyembelih dam. Kemudian apabila kamu kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mengerjakan umrah sebelum haji (dalam bulan haji), (wajiblah dia menyembelih) dam yang mudah didapati. Sekiranya dia tidak dapat, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari semasa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu pulang (ke tempat masing-masing). Itulah sepuluh yang sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam. Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya.
[197]
(Musim) Haji itu adalah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya ibadat Haji, maka tidak boleh lagi mencampuri isteri, membuat maksiat, dan bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan, diketahui Allah. Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah takwa. Dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal.
[198]
Tidaklah salah, kamu mencari limpah kurnia daripada Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak dari padang Arafah, maka berzikirlah kepada Allah di tempat Masy’ar Al-Haraam, dan ingatlah Allah dengan menyebutNya sebagaimana Dia telah memberikan petunjuk kepada kamu, kerana kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang sesat.
[199]
Selain itu, hendaklah kamu bertolak dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[200]
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat kamu, maka hendaklah kamu mengingati (menyebut-nyebut) Allah sebagaimana kamu dahulu mengingati datuk nenek kamu, malah dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang berkata “Wahai Tuhan kami! Berikanlah kami di dunia” Maka tidaklah ada baginya sedikitpun bahagian di akhirat.
[201]
Dan di antara mereka ada yang berkata pula “Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”
[202]
Mereka itulah yang akan mendapat bahagian dari apa yang telah mereka usahakan. Dan Allah amat cepat hitunganNya.
[203]
Dan ingatlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu jumlahnya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) sebelum hari kedua, maka dia tidaklah berdosa. Dan sesiapa yang melambatkannya, maka dia juga tidaklah berdosa. (Ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, dan ketahuilah kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.
[204]
Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai kehidupan dunia, menarik hatimu, dan dia mengatakan Allah menjadi saksi atas apa yang ada di dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya.
[205]
Dan apabila dia berpaling, dia berjalan di bumi untuk menyebarkan kerosakan padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan sedang Allah tidak suka kepada kerosakan.
[206]
Dan apabila dikatakan kepadanya “Bertakwalah kepada Allah” Timbullah kesombongannya dengan dosa. Oleh itu, cukuplah neraka Jahannam. Dan demi sesungguhnya, itulah seburuk-buruk tempat tinggal.
[207]
Dan di antara manusia ada yang menjual dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata. Dan Allah Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.
[208]
Wahai orang-orang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam dengan sepenuhnya. Dan janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang nyata.
[209]
Dan sekiranya kamu tergelincir, sesudah datang bukti-bukti jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[210]
Mereka (yang kafir) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah dalam naungan awan, bersama-sama malaikat, padahal telah diputuskan perkara itu. Dan kepada Allah jualah kembalinya segala urusan.
[211]
Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak tanda-tanda nyata, yang telah Kami berikan kepada mereka? Dan sesiapa yang menukar nikmat Allah sesudah ia sampai kepadanya, maka sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.
[212]
Kehidupan dunia diperhiaskan kepada orang-orang kafir, sehingga mereka memandang rendah orang-orang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa itu lebih tinggi daripada mereka pada hari kiamat kelak. Dan Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira.
[213]
Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu (tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran. Dan juga menurunkan bersama mereka Kitab-kitab Suci yang benar, untuk menjalankan keputusan di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dan tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberikan itu kepada mereka, iaitu sesudah datang kepada mereka bukti-bukti yang jelas, kerana hasad dengki sesama sendiri. Kemudian Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan mereka itu dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.
[214]
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan memasuki syurga, padahal belum sampai kepada kamu seperti apa yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan dan serangan penyakit, dan digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya “Bilakah pertolongan Allah?” “Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amatlah hampir”
[215]
Mereka bertanya kepadamu. Apakah yang akan mereka dermakan? Katakanlah “Apa jua harta benda yang kamu dermakan, maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, kaum keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan apa jua yang kamu lakukan dari pelbagai jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.
[216]
Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci. Dan boleh jadi kamu bencikan sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi juga kamu sukakan sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah jualah Yang mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
[217]
Mereka bertanyakan kepadamu, mengenai berperang dalam bulan haram. Katakanlah “Peperangan di dalamnya berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan perbuatan menyekat ke Masjid Al-Haraam, dan mengusir penduduknya dari situ, adalah lebih besar dosanya di sisi Allah. Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh. Dan mereka akan sentiasa memerangi kamu sehingga mereka memalingkan kamu dari agama kamu seandainya mereka sanggup. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya, lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
[218]
Sesungguhnya orang-orang beriman, dan orang-orang berhijrah dan berjuang pada jalan Allah, mereka adalah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[219]
Mereka bertanyakan kepadamu  mengenai arak dan judi. Katakanlah “Pada keduanya terdapat dosa besar dan terdapat pula beberapa manfaat untuk manusia, tetapi dosa keduanya adalah lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka bertanyakan kepadamu. Apakah yang mereka akan dermakan? Katakanlah “Apa-apa yang berlebihan dari keperluan” Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat supaya kamu berfikir.
[220]
Mengenai dunia dan akhirat, dan mereka bertanyakan kepadamu mengenai anak-anak yatim. Katakanlah “Memperbaiki keadaan mereka itu amatlah baik” Dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka, maka mereka adalah saudara kamu. Dan Allah lebih mengetahui mengenai orang yang merosakkan daripada orang yang hendak memperbaiki. Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia memberati kamu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[221]
Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan musyrik sebelum mereka beriman. Kerana sesungguhnya, seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah pula mengahwinkan dengan lelaki-lelaki musyrik sebelum mereka beriman, kerana sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Mereka mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Dia menjelaskan ayat-ayatNya kepada umat manusia, supaya mereka mengambil pelajaran.
[222]
Dan mereka bertanya kepadamu mengenai haid. Katakanlah “Ia mendatangkan mudarat” Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan semasa haidnya, dan janganlah kamu hampiri mereka sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci, maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, lagi mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
[223]
Isteri-isteri kamu adalah ibarat kebun kamu, oleh itu datangilah kebun kamu itu apabila kamu menghendaki. Dan sediakanlah untuk diri kamu. Dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah kamu akan menemuinya, dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.
[224]
Dan janganlah jadikan nama Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu berbuat baik dan bertakwa, dan mendamaikan di antara manusia. Dan Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.
[225]
Allah tidak mengira kamu salah mengenai sumpah kamu yang tidak dimaksudkan, tetapi Dia mengira kamu salah kerana sumpah yang disengajakan hati kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[226]
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu, jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[227]
Dan jika mereka berazam hendak bercerai, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
[228]
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan apa yang dijadikan Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak merujuk kembali isteri-isteri tersebut dalam masa idah mereka sekiranya si suami bertujuan berdamai. Dan bagi mereka (isteri-isteri) juga mempunyai hak yang sama seperti mana kewajipan yang ditanggung oleh mereka dengan cara yang sepatutnya. Dalam pada itu, orang-orang lelaki mempunyai satu darjat atas orang-orang perempuan. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[229]
Talak (yang boleh dirujuk hanya) dua kali. Sesudah itu, bolehlah memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan dengan cara yang baik. Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka melainkan jika keduanya takut tidak dapat menegakkan hukum Allah. Oleh itu, sekiranya kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikannya (isteri) untuk menebus dirinya. Itulah hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan sesiapa yang melanggar hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[230]
Sesudah itu, jika diceraikan pula (buat kali ketiga), maka dia (isteri) tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga dia berkahwin dengan suami lain. Setelah itu, jika dia (suami lain) menceraikannya, maka mereka berdua tidaklah berdosa untuk kembali, jika mereka berpendapat dapat menegakkan hukum Allah, dan itulah hukum Allah, diterangkanNya kepada kaum yang mengetahui.
[231]
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri, kemudian mereka mendekati akhir tempoh idahnya, maka bolehlah kamu rujuk mereka dengan cara yang baik atau melepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu rujuk mereka, kerana kamu hendak melakukan kezaliman. Dan sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu jadikan ayat-ayat Allah itu sebagai ejekan. Dan kenangkanlah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, dan juga apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab dan ilmu hikmat, untuk diberikanNya pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[232]
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri, kemudian tamat masa idah mereka, maka janganlah kamu (wali) menahan mereka daripada berkahwin lagi dengan (bakal) suami mereka, apabila mereka bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik. Demikianlah diberikan peringatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
[233]
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan tersebut. Dan kewajipan ayah pula memberikan makanan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberati seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan seseorang ayah kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan tersebut. Kemudian sekiranya keduanya mahu menghentikan penyusuan dengan persetujuan mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah bersalah. Dan jika kamu hendak memberikan anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu menyerahkan upah dengan cara yang patut. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, dan ketahuilah sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.
[234]
Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka (isteri-isteri) menahan diri selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila tamat masa idahnya itu, maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik. Dan Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
[235]
Dan tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang kamu bayangkan, untuk meminang perempuan tersebut, atau mengenai kamu menyimpan dalam hati. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka secara rahsia, selain menyebut kata-kata yang sopan. Dan janganlah pula kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh untuk berakad nikah sebelum tamat idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah mengetahui akan apa yang ada di dalam hati kamu, dan berwaspadalah terhadapNya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[236]
Tidaklah kamu bersalah (tidak membayar bayaran mas kahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu yang belum kamu sentuh atau (belum) kamu menetapkan mas kahwin mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberikan Mut’ah (pemberian sagu hati) kepada mereka, iaitu suami yang senang menurut ukuran kemampuannya, dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya. Pemberian menurut yang patut, yang menjadi kewajipan atas orang-orang yang melakukan kebaikan.
[237]
Dan sekiranya kamu menceraikan mereka sebelum kamu sentuh mereka, padahal kamu telah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka (mereka berhak mendapat) separuh dari apa yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya, atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberi mas kahwin itu sepenuhnya). Dan bermaaf-maafan itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu kerjakan.
[238]
Peliharalah kamu akan segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (Asar). Dan berdirilah kerana Allah dengan taat dan khusyuk.
[239]
Dan jika kamu dalam keadaan takut, maka bersembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan. Kemudian apabila kamu kembali aman, maka hendaklah kamu mengingati Allah sebagaimana Dia telah mengajari kamu apa yang kamu tidak ketahui.
[240]
Dan orang-orang yang (dihampiri) mati di antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah sehingga setahun lamanya, dengan tidak diarahkan berpindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar, maka tidaklah kamu bersalah mengenai apa yang mereka lakukan terhadap diri mereka dari perkara yang baik. Dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[241]
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu berhak mendapat Mut’ah dengan cara yang patut, sebagai suatu tanggungan wajib atas orang-orang yang bertakwa.
[242]
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya supaya kamu memahami.
[243]
Tidakkah engkau mengetahui mengenai orang-orang yang keluar dari tempat tinggalnya kerana takut mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Lalu Allah berfirman kepada mereka “Matilah kamu” Kemudian Dia menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
[244]
Dan berperanglah pada jalan Allah. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[245]
Sesiapa yang memberi pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik, maka Dia akan melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan Allah jualah Yang menyempitkan dan Yang meluaskan, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
[246]
Tidakkah engkau mengetahui mengenai (kisah) ketua-ketua dari Bani Israil sesudah Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka “Lantiklah seorang raja untuk kami, supaya kami berperang pada jalan Allah” Dia menjawab “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?” Mereka berkata “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari tempat tinggal kami, dan anak-anak kami?” Maka apabila perang itu diwajibkan ke atas mereka, mereka berpaling melainkan sebahagian kecil dari mereka. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
[247]
Dan Nabi mereka berkata pula kepada mereka “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu” Mereka menjawab “Bagaimanakah dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan dia tidak pula diberikan keluasan harta kekayaan?” Dia berkata “Allah telah memilihnya melebihi kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan” Bahkan Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.
[248]
Dan Nabi mereka berkata lagi kepada mereka “Sesungguhnya tanda dia akan menjadi raja ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun. Ia dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya ia mengandungi satu tanda bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”
[249]
Tatkala Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah dia “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum daripadanya, maka bukanlah dia dari pengikutku, melainkan sesiapa yang hanya menceduk-ceduk dengan tangannya” Mereka meminumi jua dari sungai tersebut, melainkan sebahagian kecil dari mereka. Setelah dia (Talut) bersama-sama orang-orang beriman menyeberangi sungai berkenaan, berkatalah mereka “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya” Berkatalah pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah “Berapa banyak, golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah bersama orang-orang yang sabar”
[250]
Tatkala mereka mara menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami menentang kaum yang kafir”
[251]
Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan mereka (tentera Jalut) dengan izin Allah, dan Nabi Daud membunuh Jalut, dan Allah memberikan kepadanya kuasa pemerintahan, dan hikmat dan mengajarinya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, nescaya rosak binasalah bumi ini. Akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.
[252]
Itulah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kepadamu dengan benar. Dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari kalangan Rasul-rasul Allah.
[253]
Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (secara terus) dengannya. Dan ditinggikanNya sebahagian dari mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa bukti kebenaran, dan Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus. Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada mereka tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka bukti-bukti yang jelas. Tetapi mereka berbeza (pendapat), maka timbullah di antara mereka, orang yang beriman dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan. Tetapi Allah melakukan apa jua yang dikehendakiNya.
[254]
Wahai orang-orang beriman! Dermakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tiba hari yang padanya tidak ada jual-beli, dan tidak ada persahabatan akrab, dan tidak ada pertolongan syafaat. Dan orang-orang yang kafir, mereka itu orang-orang yang zalim.
[255] – Ayat Kursi
Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbir (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberikan syafaat di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatupun dari ilmuNya melainkan apa yang Dia kehendaki. Luasnya KursiNya itu (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi. Dan tidaklah menjadi keberatan bagi Allah menjaga dan memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
[256]
Tidak ada paksaan dalam agama, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan. Oleh itu, sesiapa yang tidak mempercayai Taghut dan dia pula mempercayai Allah, dia telah berpegang pada simpulan teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[257]
Allah Pelindung orang-orang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya. Dan orang-orang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
[258]
Tidakkah engkau mengetahui mengenai orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan” Dia menjawab “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan” Nabi Ibrahim berkata pula “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
[Dia boleh menghidupkan bermaksud kebolehannya membebaskan musuhnya dari hukuman mati]
[259]
Atau mengenai orang yang melalui sebuah bandar yang telah runtuh segala bangunannya, dia berkata “Bagaimanakah Allah akan menghidupkan (bandar) ini sesudah matinya?” Lalu dia dimatikan Allah selama seratus tahun, kemudian Dia menghidupkannya semula dan Dia berfirman “Berapa lama engkau tinggal?” Dia menjawab “Aku telah tinggal sehari atau setengah hari” Dia berfirman “Sebenarnya engkau telah tinggal selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya. Dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (yang telah hancur). Dan Kami jadikan engkau (semua ini) sebagai tanda bagi umat manusia. Dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, sebagaimana Kami menyusunnya kembali dan Kami menyalutinya dengan daging” Maka apabila telah jelas kepadanya, berkatalah dia “Sekarang aku mengetahuinya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”
[260]
Dan ketika Nabi Ibrahim berkata “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Dia berfirman “Adakah engkau belum yakin?” Dia (Ibrahim) menjawab “Aku yakin, akan tetapi agar tenteram jiwaku” Dia berfirman “Ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu, letakkanlah di atas tiap-tiap bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah ia, nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera” Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[261]
Bandingan orang-orang yang mendermakan hartanya pada jalan Allah, seperti sebiji benih yang tumbuh menumbuhkan tujuh tangkai. Tiap-tiap tangkai mengandungi seratus benih. Bahkan Allah akan melipat gandakan bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah Maha Luas kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
[262]
Orang-orang yang mendermakan hartanya pada jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka dermakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit dan tidak pula menyinggung atau menyakiti, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[263]
(Menolak mereka) dengan perkataan yang baik dan memaafi adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan yang menyakitkan. Dan Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
[264]
Wahai orang-orang beriman! Jangan rosakkan sedekah kamu dengan membangkit-bangkit dan menyakitkan, seperti orang yang mendermakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia, dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan (amalan) orang itu ialah seperti batu licin yang terdapat tanah di atasnya. Kemudian batu tersebut ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih. Mereka tidak mendapat sesuatupun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
[265]
Dan bandingan orang-orang yang mendermakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah, dan untuk keteguhan jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan yang lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Sekiranya ia tidak ditimpa hujan yang lebat, maka hujan renyai-renyai. Dan Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.
[266]
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok kurma dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Dia juga mempunyai di dalamnya segala jenis buah-buahan. Kemudian tibalah masa tuanya, sedang dia mempunyai anak-anak yang masih kecil, lalu kebun tersebut diserang angin taufan yang membawa api sehingga menyebabkannya terbakar? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu tanda-tanda, supaya kamu berfikir.
[267]
Wahai orang-orang beriman! Dermakanlah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu, melainkan dengan cara memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
[268]
Syaitan itu menjanjikan kamu kemiskinan, dan menyuruh kamu melakukan perbuatan keji, sedang Allah menjanjikan kamu keampunan daripadaNya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
[269]
Dia memberikan Hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang diberikan hikmat tersebut, demi sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
[270]
Dan apa sahaja yang kamu dermakan atau apa sahaja yang kamu nazarkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. Dan orang-orang yang zalim, tidak ada sesiapapun yang dapat menolongnya.
[271]
Jika kamu zahirkan sedekah-sedekah, maka yang demikian adalah baik. Namun jika kamu sembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan Dia akan menghapuskan daripada kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[272]
Tidaklah engkau diwajibkan menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah jualah yang memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan apa jua harta halal yang kamu dermakan, maka ia adalah untuk diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan kepada kamu, dan kamu pula tidak akan dirugikan.
[273]
(Sedekah itu ialah) untuk orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya pada jalan Allah (menjalankan khidmat atau berjuang) yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya). Orang yang tidak mengetahui akan menyangkanya orang kaya kerana mereka menahan diri (dari meminta-minta). Engkau akan mengenali mereka dengan sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai secara mendesak-desak. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.
[274]
Orang-orang yang mendermakan hartanya pada waktu malam mahupun siang, secara rahsia mahupun terbuka, bagi mereka pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[275]
Orang-orang yang memakan riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan terhuyung-hayang. Yang demikian adalah kerana mereka mengatakan “Bahawa berniaga itu sama sahaja seperti riba” Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan daripada Tuhannya lalu dia berhenti, maka apa yang telah diambilnya dahulu adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserah Allah. Dan sesiapa yang mengulangi, maka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
[276]
Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba, dan Dia mengembangkan sedekah-sedekah dan zakat. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal dalam kekufuran, dan selalu pula melakukan dosa.
[277]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, berbuat baik, mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[278]
Wahai orang-orang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.
[279]
Oleh itu, jika kamu tidak juga melakukannya, maka ketahuilah kamu, akan ada peperangan daripada Allah dan RasulNya. Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. Kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
[280]
Dan jika (orang yang berhutang) mengalami kesempitan hidup, maka berikanlah tempoh sehingga lapang. Dan kalaulah kamu sedekahkan sahaja hutang itu, ia adalah lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui.
[281]
Dan takutilah hari yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.
[282]
Wahai orang-orang beriman! Apabila kamu menjalankan suatu urusan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu, maka hendaklah ditulis itu, dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil, dan janganlah seseorang penulis itu enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarinya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (kandungan surat hutang tersebut dengan jelas). Dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatupun dari hutang itu. Kemudian sekiranya orang yang berhutang itu kurang pandai atau lemah atau dia sendiri tidak dapat merencanakan, maka hendaklah direncanakan walinya dengan adil. Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian jika tidak terdapat dua orang saksi lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu, maka dapat diingatkan yang seorang lagi. Dan jangan pula saksi-saksi tersebut enggan apabila mereka dipanggil. Dan janganlah pula kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masa itu, sama ada kecil ataupun besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Melainkan urusan itu mengenai perniagaan tunai yang kamu jalankan sesama sendiri, maka tidaklah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu dibahayakan. Dan jika kamu melakukannya, maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik yang ada pada kamu. Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah. Dan Allah mengajari kamu, dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[283]
Dan jika kamu berada dalam musafir, sedang kamu tidak mendapat jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang. Kemudian sekiranya yang memberi hutang itu percaya kepada yang lain, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
[284]
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampuni sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakinya. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[285]
Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan juga orang-orang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari Rasul-rasulNya” Dan mereka mengatakan “Kami dengar dan kami taat” “kami pohonkan keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”
[286]
Allah tidak memberati seseorang melainkan dengan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat apa yang diusahakannya, dan dia menanggung apa yang diusahakannya “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengira kami salah sekiranya kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang Engkau telah bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami dengan apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, dan ampunkanlah dosa kami, dan berikanlah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu tolonglah kami menentang kaum-kaum yang kafir”